AUSTIN, Texas – Syarikat multinasional hospitaliti dari Amerika Syarikat (AS), Hilton Hotels & Resorts (Hilton) mengumumkan akan mereka bentuk suite angkasawan untuk stesen angkasa bagi menggantikan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang semakin usang, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Hilton akan membantu merangka pelan untuk Starlab iaitu sebuah stesen angkasa lepas swasta yang sedang dibangunkan oleh firma penerokaan angkasa lepas, Voyager.
Selain mereka bentuk suite hospitaliti, Hilton juga bertanggungjawab mereka bentuk ruang komunal dan susun atur tidur untuk angkasawan.
Rangkaian hotel itu berkata, pihaknya mahu menambah baik pengalaman manusia di angkasa lepas dan menjadikan penginapan lanjutan lebih selesa.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Voyager Space, Dylan Taylor berkata, Starlab akan menjadi lebih daripada sekadar satu destinasi.
“Ia akan menjadi pengalaman yang dicipta jauh lebih unik dan berseni dengan penyerapan inovasi, kepakaran dan capaian global pasukan Hilton,” katanya.
Voyager dan syarikat kendaliannya, Nanoracks, menerima pembiayaan berjumlah AS$160 juta (RM731 juta) daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada 2021 untuk membangunkan stesen angkasa Starlab.
Ia akan digunakan bagi menggantikan ISS yang merupakan makmal angkasa lepas yang telah mengelilingi Bumi selama lebih dua dekad.
ISS telah mula menunjukkan tanda-tanda usang serta lusuh, justeru, NASA memutuskan akan melucutkan tauliah dan menyahorbit kemudahan itu menjelang 2031. – Agensi