BEIJING – Satu kajian baharu mendakwa bahawa spesies dinosaur sudah berada di ambang kepupusan ketika sebutir asteroid gergasi menghentam Bumi dan menghapuskan semua haiwan zaman purba tersebut, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Apabila dinosaur pupus 66 juta tahun yang lalu, bilangan spesies haiwan itu telah merosot secara drastik, demikian menurut kajian tersebut yang dilakukan ke atas telur-telur dinosaur di China.
Kajian oleh Akademi Sains China itu juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, PNAS.
Menggunakan telur dinosaur yang ditemui di Lembangan Shanyang, saintis-saintis mencipta kronologi masa dalam tempoh dua juta tahun menjelang akhir zaman Cretaceous, zaman terakhir di mana dinosaur masih hidup.
Lembangan di tengah China itu menyimpan kira-kira 1,000 fosil telur, tetapi setelah melakukan pemeriksaan lebih teliti, penyelidik mendapati bahawa hanya tiga spesies yang sebenarnya masih hidup pada masa itu.
Ini bermakna kepelbagaian spesies dinosaur sudah semakin berkurang semasa zaman Cretaceous.
“Keputusan kajian kami menunjukkan biodiversiti dinosaur adalah rendah dalam tempoh dua juta tahun terakhir Cretaceous. Data tersebut membuktikan penurunan dalam biodiversiti dinosaur berjuta-juta tahun sebelum sempadan zaman Cretaceous/Paleogene,” kata penulis kajian.
Selain itu, saintis turut membuat spekulasi bahawa faktor termasuk perubahan iklim dan letusan gunung berapi mungkin telah menyebabkan populasi dinosaur berkurangan mendadak. – Agensi