MOSCOW – Rakyat Russia yang ketakutan, berkumpul di jalan-jalan utama kerana memprotes arahan Presiden Vladimir Putih supaya askar simpanan dikerah ke barisan hadapan dalam perang di Ukraine, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Lebih 100 penunjuk perasaan yang memegang sepanduk ‘Tiada kerahan’ dan melaungkan slogan antiperang diseret oleh polis bersenjata yang cuba mematahkan protes di seluruh negara itu.
Sementara itu, terdapat juga kumpulan penduduk yang cuba mengelak daripada arahan tersebut dengan membeli tiket keluar sehala dari Moscow.
Kekecohan bermula selepas Putin membuat pengumuman menerusi saluran televisyen tempatan bahawa kerajaan akan memanggil 300,000 tentera simpanan sebagai kumpulan pertama yang akan turun berperang dengan Ukraine.
Ia adalah panggilan mobilisasi pertama yang dikuatkuasakan Kremlin sejak Perang Dunia Kedua tamat.
Terdapat juga khabar angin bahawa sempadan Russia akan ditutup tidak lama lagi dan arahan merekrut akan diperluas kepada rakyat biasa dengan had umur yang layak untuk bertempur.
Protes kelmarin bermula di Siberia dengan penunjuk perasaan berisiko dipenjarakan di bawah undang-undang yang melarang kritikan terhadap angkatan tentera. Lebih banyak bantahan serupa dijangka menular ke Moscow dan bandar raya Saint Petersburg.
Antara sepanduk yang dibawa oleh kumpulan penunjuk perasaan termasuk yang mengandungi slogan bermaksud: “Saya tidak akan mati untuk Putin atau anda” dan “Katakan tidak kepada mobilsasi”. – AGENSI