WASHINGTON – Presiden Iran, Ebrahim Raisi membatalkan temu bual bersama seorang pembaca berita stesen penyiaran CNN, Christianne Amanpour kerana wanita itu enggan memakai tudung semasa wawancara berlangsung, lapor laman berita Wion News semalam.
Permintaan tersebut dibuat oleh Ebrahim memandangkan Amanpour berasal dari Iran dan dengan alasan bagi menghormati bulan Muharram serta Safar.
Menurut Amanpour, dia menerima arahan tersebut kira-kira 40 minit sebelum wawancara disiarkan secara langsung dan menolaknya dengan baik.
“Setelah perancangan yang berjalan berminggu-minggu dan mengambil masa lapan jam untuk menyediakan pentas wawancara, tiada kelibat Presiden yang muncul.
“Beliau meminta saya untuk bertudung bagi sesi tersebut, namun saya menolak dengan baik kerana kami berada di bumi Amerika Syarikat (AS) dan tiada undang-undang mewajibkan saya berhijab,” tulis Amanpour dalam komen di laman Twitter.
Pembatalan wawancara ini berlaku ketika Iran berdepan bantahan di seluruh negara terhadap kewajiban berhijab di negara itu.
Kemarahan orang ramai memuncak di Iran selepas pihak berkuasa mengumumkan kematian Mahsa Amini, 22, semasa berada dalam tahanan polis moral kerana kesalahan pemakaian hjab yang tidak wajar pada minggu lalu. – Agensi