PUTRAJAYA – Pilihlah waktu yang lebih ‘tenang’ dan tiada ancaman bencana alam sebelum menentukan tarikh sesuai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Itu cadangan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung tarikh sesuai untuk dilaksanakan PRU-15.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, kerajaan perlu memikirkan tarikh sesuai supaya ia tidak bertembung dengan bencana banjir dan angin kencang.
“Waktu banjir tidak baik untuk diadakan pilihan raya kerana nak bergerak pun susah dan mungkin ramai tidak boleh keluar buang undi.
“Bagaimanapun, jika tarikh PRU-15 itu ditentukan pada musim banjir, kita tetap bersedia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog dan suai kenal bersama badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Ikhlas Malaysia, di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kehendak dan keperluan serta persediaan parti lawan dalam menentukan tarikh PRU-15.
“Janganlah buat sesuatu supaya parti lawan tidak dapat ambil bahagian dalam pilihan raya. Jangan pula daftar (GTA) kita pun dia (kerajaan) tarik, susahlah,” katanya.
Ditanya samada pendaftaran GTA sudah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Dr. Mahathir berkata, ia belum diluluskan dan RoS memberi tempoh sehingga pertengahan Oktober untuk memproses pendaftaran itu.
Selain itu, katanya, agihan kerusi bagi calon GTA untuk PRU-15 juga belum selesai dimuktamadkan.
Jelasnya lagi, GTA dijangka bakal menampilkan calon dalam kalangan pemimpin NGO dimana mereka bersetuju untuk bertanding atas tiket GTA bukannya NGO yang mereka wakili.- KOSMO! ONLINE.