PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK – Tekanan terhadap Presiden Vladimir Putin semakin meningkat selepas beliau membuat keputusan drastik menghantar askar simpanan ke Ukraine dalam langkah yang mencetuskan protes dan membawa kepada kepada beratus-ratus tangkapan di Russia.
Dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB di Bandar Raya New York kelmarin, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menuduh Putin ‘tidak tahu malu’ kerana melanggar Piagam PBB dengan melancarkan perang dengan tujuan untuk melenyapkan negara Ukraine.
Biden dalam kesepakatan dengan barisan pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mengecam tindakan Putin mengeluarkan ancaman nuklear secara terang-terangan terhadap Eropah dalam langkah yang akan meningkatkan konfrontasi di Ukraine.
“Perang nuklear tidak akan boleh dimenangi (oleh sesiapa) dan tidak berbaloi,” kata Biden.
Kecaman yang diterima Russia itu berlaku beberapa jam selepas Putin mengumumkan akan meningkatkan skala peperangan dengan Ukraine yang kini memasuki bulan ketujuh, dengan mengerahkan 300,000 askar simpanan Kremlin.
Langkah itu disifatkan Barat sebagai terdesak, di samping mencetuskan protes di seluruh Russia sendiri.
Lebih 1,300 orang ditahan di 38 buah bandar di Russia susulan tunjuk perasaan oleh orang awam yang membantah arahan Putin, demikian menurut kumpulan pemerhati, OVD-Info. Protes itu adalah yang terbesar oleh rakyat Russia sejak Putin melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine, Februari lalu.
Wartawan agensi berita AFP yang berada di pusat bandar Moscow berkata, dia melihat sekurang-kurangya 50 individu diberkas polis pencegah antirusuhan, manakala di bandar Saint Petersburg, polis mengepung dan menahan kumpulan penunjuk perasaan.
Mereka ‘disumbat’ ke dalam sebuah bas sambil tidak berhenti melaungkan slogan: “Tiada kerahan!”.
“Semua orang takut. Saya mahukan keamanan dan enggan dipaksa membunuh (dalam kerahan tentera),” kata seorang penunjuk perasaan, Vasily Fedorov.
Dalam rakaman ucapan yang disiarkan awal kelmarin, Putin menuduh Barat sebagai cuba memusnahkan Russia dengan menyokong Ukraine ketika beliau mengumumkan kerahan tentera terbaharu itu.
“Apabila integriti wilayah dan negara kami diancam, kami pasti akan menggunakan segala yang ada untuk melindungi Russia dan rakyatnya. Saya serius.
“Mana-mana negara yang cuba mengugut Russia menggunakan senjata nuklear perlu tahu bahawa angin juga boleh berubah dan menuju ke arah mereka (mereka juga akan musnah),” kata Putin.
Beliau dalam pada itu, menuduh Kiev sebagai sengaja mengelak daripada mengadakan rundingan damai dengan Moscow, yang menurutnya dilakukan atas arahan blok Barat.
Langkah yang diumumkan Putin itu bakal menyaksikan tentera Kremlin menggunakan askar simpanan sahaja serta individu yang telah menamatkan khidmat negara.
Beliau turut berjanji bahawa Moscow akan memberikan latihan tambahan kepada mereka yang terpilih dalam tugas tersebut berserta semua manfaatnya, demikian menurut laman berita RT. – AFP