Ketika ini hangat dibincangkan isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja di luar negara.
Setakat kelmarin, seramai 168 mangsa telah pun selamat dibawa pulang ke negara ini dengan kumpulan terakhir melibatkan seramai 15 orang tiba dengan menaiki penerbangan komersial dari Phnom Penh dan tiba di Sepang, Selangor pada pukul 11.50 malam.
Menurut Kementerian Luar, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 301 kes melibatkan kes penipuan kerja di empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang sedang giat dijalankan oleh pihak Kerajaan Malaysia walaupun tiada angka tepat, malah ada dalam kalangan mereka yang berkemungkinan sudah meninggal dunia dan disemadikan menggunakan identiti palsu.
Kes penipuan kerja ini mendapat perhatian meluas sehingga Jawatankuasa khas ditubuhkan kelmarin.
Kumpulan melibatkan pelbagai agensi diketuai Kementerian Luar ini diwujudkan sebagai tanda komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat tempatan yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara dibawa pulang dengan selamat ke negara ini.
Isu rakyat Malaysia kena ditipu tawaran pekerjaan di luar negara ini bukan kali pertama berlaku.
Sebelum timbulnya sindiket penipuan tawaran kerja di negara-negara di sebelah utara Semenanjung, ada rakyat Malaysia sanggup berhijrah ke Australia untuk bekerja sebagai buruh ladang di sana.
Siapa yang nak menolak jika diberikan gaji yang lumayan untuk melakukan kerja memetik buah?
Tawaran gaji yang lumayan mendorong orang kita pergi ke sana, namun indah khabar dari rupa. Hanya mereka yang kental boleh bertahan memerah keringat berjalan kaki di dalam ladang yang boleh tahan juga luasnya.
Lebih malang ada yang ditipu oleh ejen, bukan sahaja kempunan nak merasa gaji besar, malah wang deposit termasuk bagi urusan penempatan juga hangus.
Tetapi nampaknya rakyat Malaysia tidak pernah serik dan mengambil pengajaran kes-kes sebelum ini.
Umpan tawaran pekerjaan berserta faedah-faedah menarik membuatkan rakyat kita percaya dan jadi gelap mata. Lebih-lebih lagi negara dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19.
Yang menanggung akibat kelak bukan sahaja mangsa, malah keluarga mereka yang terpaksa bergolok gadai mencari wang selain mencari ahli politik untuk mengadu dan membantu apa yang perlu.
Jika difikir secara logik pun, rakyat dari negara-negara terbabit dan negara lain sanggup bergadai nyawa menceroboh masuk untuk bekerja di Malaysia.
Yang berjaya diberkas pun sudah ramai. Yang terlepas belum tahu berapa jumlahnya tetapi rakyat kita pula beria-ia mahu menimba pengalaman bekerja di negara tersebut.
Harap ada satu langkah komprehensif untuk membendung masalah ini bukan setakat menyelamat dan membawa pulang tetapi mengelak lebih ramai menjadi mangsa episod ‘drama’ penipuan pekerjaan ini.
Fikir-fikirkan.