fbpx

Pahang rampas pingat emas hoki Sukma 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atlet Pahang meraikan kemenangan selepas menewaskan Johor pada Sukan Malaysia XX Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki Pahang menebus kekecewaan empat tahun lalu apabila kembali merampas pingat emas pada edisi Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Ia sekali gus menamatkan kemarau 26 tahun Pahang untuk meraih pingat emas hoki lelaki Sukma sejak kali terakhir edisi itu dianjurkan di negeri sendiri pada 1996.

Kejayaan itu hadir selepas Pahang melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Ia sememangnya saat-saat yang dinantikan oleh skuad Tok Gajah selepas dikecewakan pingat emas oleh Sabah menerusi penentuan penalti shoot-out sewaktu final edisi 2018 di Ipoh, Perak.

“Terima kasih kepada semua pemain kerana bekerja keras dan tidak pernah berputus asa mencari gol sepanjang 60 minit perlawanan ini.

“Saya sangat berbangga kerana akhirnya kami dapat merampas semula pingat emas yang terlepas empat tahun lalu di Perak,” kata ketua jurulatih Pahang, Mohd. Sufian Mohamad selepas tamat aksi itu.

Muhammad Idris Samad muncul wira Pahang apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi pukulan sudut penalti pada suku keempat permainan.

Menariknya, kontinjen Pahang juga berjaya meraih pingat emas berganda untuk acara hoki pada edisi ke-20 ini selepas terdahulu turut menjuarai final hoki wanita selepas menewaskan juara bertahan, Selangor 2-1.

Ia juga merupakan detik bersejarah buat arena hoki wanita Pahang selepas kali terakhir menggenggam pingat emas di pentas Sukma pada 14 tahun lalu sewaktu edisi 2008 di Terengganu.

Sementara itu, Perak meraih pingat gangsa hoki lelaki selepas menewaskan Terengganu 7-4, manakala gangsa hoki wanita menjadi milik Wilayah Persekutuan hasil kemenangan 4-1 ke atas Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI