fbpx

Malaysia sudah ada pengganti Farah Ann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zarith Imaan (kanan) antara gimnas muda yang mampu mengikut jejak langkah Farah Ann.
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

MALAYSIA boleh dianggap sebagai kuasa besar dalam sukan gimnastik di rantau Asia Tenggara kerana melahirkan gimnas-gimnas yang mampu bersaing di pentas tertinggi dunia.

Jika disebut nama Farah Ann Abdul Hadi, boleh dikatakan sebahagian besar peminat sukan tanah air mengenali bekas ratu gimnastik negara itu yang pernah membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Secara jujur, bukan mudah untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia, lebih-lebih lagi perlu berdepan gimnas-gimnas handalan dunia termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, Belanda dan China.

Bagaimanapun, Farah Ann berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menjadi gimnas wanita Malaysia pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir dilakukan oleh Au Li Yen pada edisi 2000 di Sydney.

Selepas gimnas berusia 28 tahun itu mengumumkan persaraan Mac lalu, timbul persoalan adakah Malaysia mampu untuk menghasilkan atlet yang mampu menggantikan pemennang tujuh pingat emas Sukan SEA itu.

Penulis menganggap, penantian itu mungkin tidak lama memandangkan atlet-atlet muda sudah mula menunjukkan kemampuan ketika beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur.

Sebagai contoh, gimnas Pulau Pinang, Zarith Imaan Khalid serta dua wakil Wilayah Persekutuan, Hannah Yasmeen Mazwan dan Marissa Zaiful Azian menampilkan aksi cukup meyakinkan sepanjang saingan berlangsung.

Justeru, tidak mengejutkan apabila ketiga-tiga gimnas muda itu sudah pun berada dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Farah Ann sendiri pernah mengakui Zarith Imaan yang merangkul empat pingat emas pada temasya Sukma kali ini adalah ‘jelmaan’ dirinya dan dilihat sebagai calon tepat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Zarith Imaan nyata terharu apabila dianggap sebagai pengganti bekas ratu gimnas negara itu, namun dia percaya masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu mencapai stan­dard Farah Ann.

“Saya rasa sangat gembira dan sangat dihargai apabila dia (Farah Ann) berkata seperti itu (pengganti). Dia juga merupakan senior saya dan sudah beri ba­nyak tunjuk ajar sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya perlu berusaha serta bekerja lebih keras jika mahu menjadi sepertinya,” katanya yang memenangi pingat emas menerusi acara senaman lantai, batang titian, palang bertingkat, all-around serta berpasukan wanita dalam Sukma kali ini.

Pada pemerhatian penulis, selain atlet-atlet kebangsaan, ada juga gimnas-gimnas negeri me­nunjukkan aksi cukup meyakinkan sepanjang temasya berlangsung dan ia turut diakui Farah Ann yang bertugas sebagai juri.

“Sangat menarik dan teruja untuk menyaksikan adik-adik beraksi. Selain itu, saya gembira kerana hampir semua negeri memiliki gimnas dan ia adalah perkembangan yang baik untuk pasukan negara.

“Saya fikir kualiti pada Sukma kali ini sangat bagus dan inilah platform yang tepat untuk gimnas-gimnas semua negeri bersaing. Ada atlet selain gimnas kebangsaan beraksi dengan baik dan diharapkan ia berterusan untuk masa hadapan,” ujarnya.

Sekiranya bekas ratu gimnas negara sudah mengakui perkara tersebut, apa lagi yang mahu dikatakan dan kita hanya menunggu masa untuk menantikan ‘kelahiran’ semula Farah Ann dalam skuad gimnastik kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI