LONDON – Dua pemain Manchester United, Harry Maguire dan Luke Shaw tidak sepatutnya berada dalam skuad England dan seharusnya disingkirkan sebelum ke Piala Dunia Qatar 2022 pada November depan.
Itulah pandangan Sven-Goran Eriksson yang pernah mengendalikan The Three Lions dari 2001 hingga 2006, kerana merasakan Maguire dan Shaw kurang minit permainan bersama United musim ini.
Prestasi merosot antara faktor utama dua pemain itu digugurkan oleh pengurus United, Erik Ten Hag yang lebih cenderung untuk menggunakan dua pembelian baru, Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.
“Sekarang Southgate dalam dilema kerana ia sesuatu yang janggal untuk beliau tidak membawa Maguire dan Shaw bersama pasukannya.
“Sukar sebenarnya untuk mereka berdua bermain bersama pasukan kebangsaan. Berlatih sahaja tidak sama seperti mendapat rutin permainan biasa berminggu-minggu,” kata Eriksson.
Southgate dijangka tetap menyenaraikan Maguire dan Shaw dalam kesebelasan utamanya dalam dua aksi Liga Negara-Negara Eropah bulan ini menentang Itali di San Siro awal pagi esok dan Jerman di Wembley pada Selasa.
Dalam masa sama, Eriksson, 74, menegaskan, Kieran Trippier dan Kyle Walker lebih bagus untuk beraksi di posisi pertahanan kanan berbanding bintang Liverpool, Trent Alexander-Arnold.
“Zaman saya dahulu cuma ada Gary Neville di sebelah kanan dan Ashley Cole di bahagian kiri. England pada masa kini bertuah kerana dilimpahi bek kanan.
“Trent seorang pemain yang hebat, tetapi bukanlah yang terbaik di dunia dari sudut pertahanan. Ia akan memberi masalah kepada England jika menentang pasukan hebat seperti Brazil,” jelasnya.
Sebagai rekod, The Three Lions diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Amerika Syarikat dan Wales pada kempen Piala Dunia Qatar 2022 yang akan berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember depan. – AGENSI