BANGKOK – Seorang lelaki dari Thailand nekad berjalan kaki pulang ke kampungnya di Buriram dari Songkhla sejauh 1,350 kilometer selepas hilang pekerjaan di ladang getah, lapor laman Thaiger semalam.
Lelaki itu, Choi, berpindah ke Songkhla kira-kira tujuh bulan lalu untuk bekerja di sebuah ladang getah dan menerima bayaran 300 baht (RM36.73) sehari bagi tugas menebang pokok.
Bagaimanapun, dia hilang pekerjaan selepas pokok yang perlu ditebang semakin terhad lalu memutuskan untuk pulang semula ke kampung.
Disebabkan tidak memiliki wang atau telefon bimbit, Choi memulakan perjalanan yang mengambil masa 18 jam jika berkereta, dengan berjalan kaki.
Choi sempat berjalan sejauh 300 kilometer (km) dalam masa 12 hari dengan tidur di kuil-kuil serta memakan makanan yang diberi oleh sami di situ.
Nasibnya berubah apabila bertemu sebuah berek tentera di wilayah Patthalung dan Choi berhenti di sana untuk meminta sedikit bekalan air minuman.
Pada mulanya, askar di situ menyangka Choi penjenayah dan menahannya untuk sesi soal siasat sebelum mengetahui cerita sebenar.
Pihak askar bersetuju untuk membiayai baki perjalanan Choi dengan memberikan wang sebanyak 1,000 baht (RM122) untuk tiket kereta api.
Choi meneruskan perjalanan selama 13 jam dari Phatthalung ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok. Dari sana, dia menaiki kereta api selama lapan jam dari Bangkok ke Buriram dan tiba di kampung halaman dengan selamat. – Agensi