DUSHANBE, Tajikistan – Seorang lelaki dari Brighton, England sanggup mengembara ke 91 buah negara sejauh 120,700 kilometer (km) dalam usaha mencari tandas awam paling teruk di dunia, lapor akhbar New York Post semalam.
Penulis blog pengembaraan, Graham Askey, 58, yang digelar ‘raja porselin’ oleh rakan-rakannya menemui tandas awam paling teruk itu di Tajikistan.
Askey menemui sebuah bangsal kayu setinggi 1.5 meter yang usang dan kelihatan mengerikan. Tandas dikelilingi najis kering akibat panas matahari itu terletak di wilayah Ayni.
Pengguna perlu berwaspada untuk menggunakannya kerana ular berbisa dan tikus menjijikkan bersarang di celah-celah batu di bawah bangsal itu.
Orang ramai didakwa menggunakan kain yang menutup bangsal itu sebagai tisu tandas, manakala penduduk tempatan tidak berani menjejakkan kaki ke tandas itu melainkan benar-benar terdesak.
“Setelah menggunakan beberapa bilik air paling kotor di pelbagai tempat di planet ini, tandas di Tajikistan adalah yang paling teruk di dunia. Ia adalah lubang ‘neraka’ yang sempurna.
“Dengan tiada tisu tandas tersedia, pembina membinanya dengan mudah dengan menggunakan fabrik untuk menawarkan fungsi tisu tandas. Penduduk tempatan kelihatan memanfaatkan ia sepenuhnya,” katanya kepada agensi berita Britain, SWNS.
Selain itu, Askey turut menjumpai banyak kemudahan awam yang lebih mengerikan dan merekodkan penemuannya dalam buku terbaharunya, Toilets of the Wild Frontier.
Askey melabur kira-kira AS$169,000 (RM772,161) untuk penyelidikannya dan memulakan pencarian selepas menemui tandas yang teruk ketika bercuti di Maghribi, beberapa tahun lalu.
Dia sejak itu merakam gambar luaran tandas-tandas yang ditemui. Koleksi itu diterbitkan dalam ruangan Inside Other Place Blog, sebahagian daripada Toilet & Urinal Restoration & Design Society (TURDS). – AGENSI