PETALING JAYA – Ekoran menjalankan perniagaan dalam persekitaran kotor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah kilang penyembelihan ayam di kawasan perindustrian Batu Caves ditutup, semalam.
DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi pukul 1 pagi yang melibatkan 21 anggota penguat kuasa mendapati premis itu juga dijalankan tanpa sijil tauliah penyembelihan.
“Lantai dan dinding di ruang proses berkarat, berlumut, berdaki hitam dan kotor hasil aktiviti sembelihan ayam selain terdapat najis tikus di ruang memproses.
“Ayam mentah juga diletakkan di atas lantai, tandas kotor, tiada kelengkapan asas malah sisa aktiviti penyembelihan terus dialirkan ke longkang awam,” katanya.
Menurut DBKL, turut dikesan hampir semua pekerja di premis berkenaan tidak mendapatkan suntikan tifoid.
“Mereka juga gagal pamerkan dokumen pengenalan kerana hampir semua pekerja merupakan warga asing,” katanya.
Susulan itu DBKL mengeluarkan dua kompaun dan Notis Perintah Penutupan di bawah Akta Makanan 1983 selain arahan pembersihan dan penambahbaikan.
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) turut mengambil sampel ayam mentah dan sisa air yang dilepaskan ke longkang untuk dianalisa.
Pemeriksaan secara berkala dan bersepadu terhadap premis-premis seumpama ini juga katanya, akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE