fbpx

Kes culik : Polis Kelantan pergiat rondaan, pemantauan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Program Polis Komuniti di Masjid As-Syakirin, Mukim Kelewek dekat Tanah Merah hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI

TANAH MERAH – Polis Kelantan menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar sekolah sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian culik berlaku di kawasan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, langkah itu dijalankan bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak selepas tular mesej menerusi WhatsApp yang mengatakan dua murid hampir diculik di hadapan sebuah sekolah di Gua Musang baru-baru ini.

Menurutnya, rondaan itu akan dilakukan pada waktu puncak termasuk ketika murid pulang dari sekolah iaitu tengah hari dan petang.

“Saya percaya kejadian itu bukanlah kes culik, namun masih ada unsur-unsur ke arah itu (culik). Jadi, kepekaan dalam kes ini amat penting.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan semua anggota di setiap daerah untuk membuat rondaan semalam termasuk pegawai-pegawai polis yang telah ditugaskan untuk menjaga sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Polis Komuniti di Masjid As-Syakirin, Mukim Kelewek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pengawal keselamatan yang ditugaskan di sekolah supaya disarankan untuk melaporkan segera kepada pihak polis sekiranya melihat sebarang keadaan yang mencurigakan.

Menurutnya, setiap ahli dalam masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan anak-anak di sekitar kawasan sekolah.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dua murid sekolah rendah di Gua Musang dekat sini dipercayai hampir menjadi mangsa culik kepada dua lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah dalam tempoh dua hari berturut-turut minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI