PARIS – Pemilik perlumbaan berpestij Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Dorna Sports kini dalam usaha untuk menjadikan India salah satu destinasi perlumbaan dalam kalender Grand Prix perlumbaan tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta yang melakukan lawatan di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi baru-baru ini berharap India akan menyertai mereka untuk menjadi salah satu negara yang akan menganjurkan perlumbaan dua roda tersebut.
Ezpeleta menjelaskan, sekiranya perlumbaan Grand Prix (GP) India dapat direalisasikan, ia bakal menerima sambutan luar biasa memandangkan negara di Asia Selatan tersebut adalah negara ketujuh terbesar dan kedua paling ramai penduduk mencecah hingga 1.4 bilion.
Menyedari ratusan juta kenderaan dua roda di jalan raya negara itu, Ezpeleta berkata, kehadiran perlumbaan itu di India akan menjadi tontonan yang luar biasa.
“Sudah pasti GP India akan meraih tontonan luar biasa terutama bagi peminat kami dan membolehkan sukan itu berkembang dengan lebih pesat.
“Perlumbaan di India dapat memberi gambaran mengenai komitmen kami untuk membuka pintu sukan ini seluas yang kami boleh dan akan menjadi pencapaian penting untuk kejuaraan,” kata Ezpeleta.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan India, Shri Anurag Thakur berkata, kehadiran GP India bakal mendapat sambutan luar biasa.
“India berpotensi menjadi salah satu pasaran terbesar MotoGP dari segi kehadiran penonton untuk menyaksikan perlumbaan berprestij tersebut,” kata Anurag Thakur.
Litar Antarabangsa Buddh sebelum ini telah menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) pada 2011 sehingga 2013, namun dihentikan atas masalah pertikaian cukai.
Ketika ini, MotoGP juga turut meningkatkan populariti perlumbaan tersebut di peringkat global dan bulan ini Dorna akan menandatangani memorandum persefahaman dengan Arab Saudi untuk menganjurkan di negara tersebut. – AGENSI