fbpx

Indeks Harga Rumah Mampu Milik atasi lambakan rumah tidak terjual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL (tengah) melawat gerai pameran perumahan sempena Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara di Kepala Batas, di sini hari ini. - Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memulakan pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara bagi mengatasi isu lambakan rumah mampu milik yang tidak terjual.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemetaan itu bakal menjadi panduan buat pemaju, bakal pembeli serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam penentuan harga rumah mampu milik yang sewajarnya di sesuatu kawasan.

“Pendefinisian (definisi) rumah mampu milik ini bagi lain-lain lokaliti berbeza kerana harga rumah mampu milik di Kuala Lumpur tidak sama seperti di Kinabatangan (Sabah).

“Begitu juga rumah mampu milik di Ipoh tidak bererti sama bagi rumah mampu milik di Gerik walaupun terletak dalam negeri yang sama.

“Justeru, saya minta Jabatan Perumahan Negara mengemukakan indeks harga mampu milik negara yang akan dikongsikan dengan kerajaan negeri untuk dijadikan indikator buat pemaju.

“Ini turut akan memudahkan pemaju supaya mereka tidak buat rumah mahal di situ (selepas rujuk indeks) kerana akhirnya akan menjadi lambakan yang tidak terjual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara sempena siri Jelajah Home Ownership Programme (HOPE) di Dewan Millenium, Kepala Batas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat lebih 35,000 rumah yang siap dibina tidak terjual setakat ini.

“Daripada jumlah terbabit, 7,000 daripadanya terdiri daripada rumah berharga RM300,000 ke bawah.

“Maknanya, masih ada rumah mampu milik yang tidak terjual disebabkan kegagalan memahami aspek kemampuan pembeli di sesebuah kawasan,” jelasnya.

Justeru tambahnya, beliau berharap Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang menyediakan jaminan pembiayaan berjumlah RM2 bilion di bawah Bajet 2022 akan diteruskan pada Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober depan. -KOSMO! ONLINE

Habis//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI