fbpx

Dulu Redha, sekarang Rain Town

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU MONA kini dalam proses pasca penggambaran filem keduanya, Rain Town.

SELEPAS mencipta sejarah tersendiri menerusi naskhah berjudul Redha yang terpilih mewakili Malaysia untuk senarai pencalonan kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Anugerah Akademi ke-89, sutradaranya Tunku Mona Riza kembali dengan buah tangan terbaharu.

Berbeza daripada kebiasaan, kali ini Tunku Mona tampil dengan sebuah filem Kantonis berjudul Rain Town yang baru sahaja selesai penggambaran selama hampir sebulan.

Menampilkan gandingan aktor berpengalaman, Chew Kin Wah yang memegang watak Chew dan Susan Lankester (Ai Lin), Rain Town merupakan filem kedua arahannya yang disifatkan satu cabaran besar.

“Saya menyahut cabaran untuk mengarahkan Rain Town, naskhah berbahasa Kantonis yang menjalani penggambaran di Taiping, Perak.

“Taiping mendapat nama jolokan Rain Town kerana seperti kita tahu, bandar tersebut merupakan kawasan paling banyak menerima taburan hujan di Malaysia.

“Watak utama dijayakan berbakat besar, Chew Kin Wah yang memegang karakter Chew, seorang pesara yang terlibat dalam pertaruhan hujan (rain betting).

“Chew tinggal bersama bersama isteri, Ai Lin (Susan Lankester) dan tiga orang anak iaitu Isaac (Fabian Loo), Alex (Wilson Lee) dan Ruby (Pauline Tan),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Rain Town, Tunku Mona berkata, naskhah tersebut bukan 100 peratus berkisar mengenai pertaruhan hujan yang pernah wujud di Taiping, tetapi lebih kepada mengangkat kisah kekeluargaan.

“Chew digambarkan bapa yang suka campur tangan kehidupan anak-anak dan membuatkan urusan keluarga menjadi huru-hara dan kacau-bilau.

“Saya percaya, banyak keluarga berhadapan dengan ibu bapa yang suka mengatur kehidupan anak-anak.

FILEM yang menelan kos sebanyak RM2 juta dan memilih Taiping, Perak sebagai lokasi utama penggambaran ini dijangka menerjah pawagam menjelang tahun hadapan.

Campur tangan bapa

“Saya ingin terapkan mesej ibu bapa harus mengambil tahu apa yang dimahukan anak-anak. Mereka tidak harus sewenang-wenangnya terlalu berkeras menentukan pilihan anak-anak termasuk apa yang diminati,” ujarnya.

Meskipun lebih enam tahun tidak turun set mengarahkan sebarang naskhah, Tunku Mona juga langsung tidak meletakkan sebarang sasaran apatah harapan besar untuk Rain Town.

“Seingat saya, kali terakhir saya mengarah filem adalah sekitar 2015 untuk naskhah Redha yang juga mengangkat tema kekeluargaan.

“Redha lakonan hebat Nam Ron, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa menjengah pawagam pada 2016. Insya-Allah filem ini bakal ditayangkan tahun hadapan kalau tiada aral melintang.

“Sejujurnya, saya tak boleh beri apa-apa harapan untuk buah tangan kedua ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana penerimaan Rain Town kelak.

“Apa yang saya harapkan penonton menerima naskhah ini dan menyokongnya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik menerusi naskhah Redha pada Festival Filem Malaysia ke-29 pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI