fbpx

Bob Lokman mengadu sakit belakang sebelum meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (kiri, berbaju hijau) menziarahi jenazah arwah Bob Lokman di rumahnya di Taman Pulau, Demit dekat Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Keluarga pelakon terkenal yang juga penulis lirik tersohor, Bob Lokman, 58, mengesahkan arwah meninggal dunia semasa sedang tidur di rumahnya di Taman Pulau, Demit dekat Kubang Kerian di sini hari ini.

Adik kepada arwah, Nik Azuddin Nik Yusof, 51, berkata, Bob atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman meninggal dunia di rumahnya kira-kira pukul 1 tengah hari tadi semasa sedang tidur.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga tidak menyangka arwah akan pergi buat selamanya meskipun dia sedang sakit tenat sejak empat bulan lalu.

“Saya datang ke rumahnya kira-kira pukul 8 pagi tadi dan dia ada mengadu sakit belakang sehingga tidak boleh baring. Saya memujuknya untuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, namun arwah menolak dan memaklumkan bahawa dia sudah putus asa untuk menjalankan rawatan.

“Saya sedih melihat keadaannya dan hanya mampu menggosok belakang badan arwah selain meminta dia bertahan untuk seketika. Selepas itu, saya pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, namun dikejutkan dengan berita kematian abang kira-kira dua jam kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah arwah Bob Lokman di sini hari ini.

Menurut Nik Azuddin, arwah abangnya itu sudah dua hari tidak makan kerana tiada selera dan hanya minum air dalam tempoh tersebut.

Katanya, arwah meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak yang berusia lapan hingga 28 tahun.

Sementara itu, anak kedua arwah Bob, Omar Hakim Mohd. Hakim, 28, berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir di sini kira-kira pukul 9 malam ini.

Katanya, arwah ayahnya sakit sejak lebih 30 tahun lalu selepas dikesan sakit tulang belakang.

“Selepas itu, ayah saya disahkan menghidap penyakit jantung, kencing manis dan paru-paru berair. Dia terlantar selepas dia mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.

“Arwah sudah mengadu sakit belakang yang keterlaluan sejak dua hari lalu. Apabila saya mengajaknya ke hospital, dia tidak mahu,” katanya.

Sebelum ini, penulis lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan Search itu terpaksa bergantung nyawa dengan jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

Bob turut perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan bagi memantau tahap kesihatannya dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital.

Jun lalu, Bob turut mendedahkan bateri jantungnya hanya berbaki 10 peratus dan boleh pergi menghadap Ilahi pada bila-bila masa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI