NEW DELHI – Seorang wanita di India tertusuk batang besi yang menembusi badannya selepas terjatuh dari ketinggian lebih 6 meter ketika cuba melarikan diri daripada serangan monyet, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Khatija, 20, dirakam terbaring di atas katil hospital dengan batang besi itu menembusi badan selepas keluarganya berjaya mengalihkan mangsa dari lokasi kejadian.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa berdiri di atas bumbung rumahnya di bandar Azamgarh, negeri Uttar Pradesh sebelum dikepung oleh sekumpulan monyet.
Semasa cuba melawan, dia terjatuh dari bumbung tersebut ke atas dinding penghadang besi di mana salah satu batang besi itu menusuk perut dan belakang badannya.
Khatija berada di lokasi kejadian selama lebih sejam sebelum ditemui oleh ahli keluarganya.
Mereka berjaya memisahkan mangsa dari dinding tersebut dengan separuh daripada batang besi itu masih menembusi badannya sementara dikejarkan ke hospital.
Khatija kemudian menjalani pembedahan kecemasan dan doktor berjaya mengeluarkan batang besi tersebut.
“Khatija tidak berada dalam bahaya buat masa ini,” kata pakar bedah yang mengetuai prosedur tersebut, Dr. Shishir Jaiswal.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Khatija akan pulih sepenuhnya. – AGENSI