SEBERANG PERAI – Bakal pembeli rumah pertama terutama orang muda di negeri ini teruja apabila berpeluang memiliki aset peribadi menerusi pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan.
Bagi kakitangan swasta, Siti Noraini Mohd. Zaki, 27, berkata, dia merancang untuk memiliki kediaman sendiri selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Tahun ini lebih sesuai rasanya kalau nak beli rumah kerana tahun depan kita tak tahu lagi bagaimana ekonomi negara sama ada akan bertambah baik atau sebaliknya.
“Saya perlu mencari rumah yang bersesuaian dengan gaji diperolehi supaya tidak membebankan kewangan bulanan,” katanya ketika ditemui di Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara di Kepala Batas, di sini hari ini.
Bagi Samsuri Samsudin, 55, pula, dia menjadi pembimbing kepada anaknya, Nurul Izzati, 27, yang sedang mencari rumah pertama.
Katanya, rumah perlu dibeli awal sekiranya berkemampuan kerana harganya akan lebih meningkat setiap tahun.
“Daripada menunggu lagi, saya nasihatkan anak untuk beli rumah pertama dengan segera jika sudah bersedia.
“Saya sendiri bantunya untuk memilih rumah bersesuaian mengikut kemampuan supaya tidak terbeban dengan hutang bulanan,” ujarnya.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 September menawarkan lebih 5,200 unit kediaman terdiri daripada Program Perumahan Penjawat Awan Malaysia (PPAM), kediaman SPNB, PR1MA dan Rumah Mesra Rakyat Keluarga Malaysia di Pulau Pinang. -KOSMO! ONLINE