PUTRAJAYA – Kemunculan semula pendakwah asing terkenal, Dr. Zakir Naik ternyata menjadi antara tarikan Konvensyen Antarabangsa Melestari Pembangunan Gerakan Dakwah 2022.
Meskipun kali ini beliau tidak berdebat, namun penampilan eksklusif dirinya bagi memberikan ucap utama program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu tetap memiliki aura tersendiri.
Malahan Tokoh Maal Hijrah 2013 yang berasal dari India dan kini berstatus penduduk tetap Malaysia itu masih petah lagi menyampaikan hujah secara spontan dalam slot Bicara Tokoh.
Dengan tajuk ‘Dakwah: Penyatuan Ummah Antarabangsa Era Norma Baharu’ yang diadakan di sini hari ini, tempoh sejam beliau berucap dirasakan seperti agak singkat.
“Sebenarnya umat Islam di seluruh dunia tidak perlu bimbang memanfaatkan media sosial sebagai wadah dakwah yang berkesan dan mampu menyaingi gerakan anti-Islam,” katanya.
Pada masa sama, beliau memuji pelbagai badan hal ehwal Islam di Malaysia yang aktif dalam penyebaran dakwah dan menangkis bijak serangan musuh Islam daripada pelbagai isu panas.
Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuah Soh.
Beliau kemudian turut melancarkan satu lagi penerbitan terbaharu agensi tersebut sempena program itu yang bertajuk ‘International Journal of Islam and Contemporary Affairs’.
Beberapa sesi bicara intelektual yang membabitkan pelbagai ramai akademik Islam termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia terlibat pada pengisian konvensyen selama dua hari itu. – KOSMO! ONLINE