KUALA LUMPUR – Kecemerlangan dua gimnas, Valerie Ng Tzi Yi dan Lezane Tan Li Hwe menjadi kunci utama kejayaan Wilayah Persekutuan (Wipers) meraih pingat emas all-around berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Dua lagi atlet gimnastik berirama Wipers, Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan dan Erin Chan Ern Yi turut memberikan pungutan mata yang bagus buat kontinjen itu.
Hasilnya, Wipers berjaya meraih 225.65 markah keseluruhan daripada empat apparatus – gelung, bola, belantan dan riben – yang berakhir di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Jurulatih gimnastik berirama Wipers, Clarissa Lee berbangga dengan kejayaan anak-anak buahnya selepas menepati sasaran kontinjen membawa pulang pingat emas.
“Sukma ini sebenarnya adalah batu loncatan terbaik buat mereka semua diserapkan dalam skuad kebangsaan dan saya sangat berbangga dengan keseluruhan prestasi mereka,” katanya.
Pingat perak menjadi milik Selangor yang diwakili Charmeine Tye Jia Qi, Ebony Chai Hui Ru, Emily Low En Rui dan Jasmine Low Jia Thong dengan 197.40 mata.
Gangsa pula dimenangi Cheong Nian Yao, Chloe Yap Chun Li, Goh Hann Ning dan Trisha Ng Xue Wen dari Johor selepas memungut 188.10 markah keseluruhan.
Sementara itu, Wipers terus membuktikan status mereka sebagai gergasi gimnastik berirama apabila memenangi pingat emas acara senaman berkumpulan (5 tali).
Gimnas-gimnas Wipers iaitu Carol Na Yuan Qi, Hannah Aisyah Abu Hassan, Koh Kau Qin, Qistina Balqis Joo Mazlan, Tam Shi Kwan dan Zara Firzanah Mohd. Fazirul berjaya memungut 19.300 mata.
Pungutan mata itu membolehkan Wipers menewaskan pemenang pingat perak, Pahang yang mengutip 18.150 mata dan Selangor di tempat ketiga (17.650 mata). – KOSMO! ONLINE