fbpx

Wanita seluruh dunia lebih tertekan, sedih dan marah pada tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

WASHINGTON – Satu kaji selidik mendapati  tahap kesihatan kaum wanita di seluruh dunia merosot pada 2021 dengan sebahagian besar mereka mengaku berasa lebih tertekan, sedih dan marah berbanding semasa mana-mana tempoh lain pada dekad lepas, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Kaji selidik global oleh syarikat teknologi, Hologic dengan kerjasama firma kaji selidik  Gallup itu turut dilakukan pada 2020 bagi menilai sejauh mana keperluan kesihatan wanita telah dipenuhi.

Skor negara-negara yang mengambil bahagian dikira berdasarkan respons peserta kepada soalan dalam lima kategori termasuk kesihatan am, penjagaan diri dan  pencegahan penyakit, kesihatan mental, keselamatan dan keperluan asas seperti makanan serta perlindungan.

Skor keseluruhan bagi Indeks Kesihatan Wanita Global pada 2021 menunjukkan mata yang diperoleh adalah 53 daripada 100, satu mata lebih rendah berbanding 2020.

Tiada satu negara pun  berjaya mendapat skor lebih  70 mata dengan  Taiwan, Latvia, Austria dan Denmark berada pada kedudukan teratas. Tiga negara yang mendapat kurang  40 mata pula adalah Afghanistan, Congo dan Venezuela. 

“Beban ekonomi dan psikologi akibat pandemik Covid-19 memberi kesan buruk kepada kebanyakan isi rumah dan kita tahu ia menjejaskan kaum wanita,” kata Pengarah Institut Jantina dalam Perubatan di  Hospital Charite, Berlin yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.

Kaji selidik Gallup turut mendapati wanita lebih cenderung berbanding lelaki untuk menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai wang bagi membeli makanan pada 2021. Ia merupakan peningkatan daripada 34 peratus pada 2020 kepada 37 peratus bagi tahun lalu.

“Secara keseluruhan, data ini membimbangkan. Kami faham bahawa wanita perlu  sihat untuk melibatkan diri secara sepenuhnya dan diperkasakan.

“Jelas bahawa masanya telah tiba untuk bekerjasama dan mula mencari penyelesaian bagi menambah baik penjagaan kesihatan kaum wanita,” kata Naib Presiden Hal Ehwal Perubatan Sedunia Hologic, Dr. Susan Harvey.

Kira-kira 1.5 bilion wanita tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit pada tahun lalu, kata Harvey, manakala di peringkat global, kurang daripada satu dalam setiap  lapan wanita membuat ujian saringan kanser sepanjang 2021, demikian menurut kaji selidik yang sama.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kajian Kesihatan Wanita, Katie Schubert berkata, wanita sering mengabaikan penjagaan diri sendiri.

“Kita (wanita) adalah ‘ketua pegawai perubatan’ untuk keluarga,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI