MELAKA – Tiga beranak mangsa kebakaran dalam kejadian di Tangga Batu di sini pada Selasa lalu akan menerima sebuah kediaman baharu di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, permohonan untuk kediaman itu telah dibuat bagi meringankan beban Robiah Saidin, 61, yang juga merupakan ibu tunggal dan dua anak lelakinya.
“Saya sedang usahakan untuk Robiah mendapat rumah baharu di tapak yang terbakar melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembinaan Rumah Baharu LPM yang akan dibina secara percuma.
“Mangsa juga telah menerima banyak bantuan terutama daripada Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor di sini, semalam.
Tambahnya, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan MAIM bagi menyediakan rumah sewaan sementara kepada keluarga mangsa.
“MAIM akan menanggung bayaran sewa rumah tersebut selama enam bulan, kita tengok kepada keperluan mereka.
“Sebagai bantual awal, kita ada berikan sedikit wang tunai dan keperluan lain seperti baju dan tilam,” katanya.
Terdahulu, Robiah dan anak lelaki, Muhammad Shahrul Noordin, 19, yang ketika kejadian berada di rumah nyaris rentung dalam kebakaran kira-kira pukul 4 pagi itu.
Dua beranak itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas menjumpai kunci pintu jeriji rumah mereka yang diletakkan berhampiran pintu. Seorang lagi anaknya berusia 23 tahun tiada di rumah.
Dalam pada itu, Robiah ketika hadir menerima bantuan wang sumbangan daripada pelbagai agensi berkata, dia menyifatkan kejadian itu sebagai detik hitam yang sukar untuk dilupakan.
Menurutnya, kejadian terbabit menyebabkan dia menjadi trauma dan sering bermimpi api marak sehingga kerap terjaga daripada tidur.
“Saya sendiri tidak sangka dapat keluar dengan selamat dari rumah bersama anak lelaki, ketika api sedang marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE