BRUSSELS – Pemain antarabangsa Belgium, Youri Tielemans mengakui sangat gembira untuk menyertai pasukan kebangsaannya pada saingan Liga Negara-Negara Eropah kali ini sekali gus dapat melupakan seketika aksi buruk kelabnya, Leicester City ketika ini.
Skuad kendalian Brendan Rodgers itu menduduki tangga tercorot Liga Perdana Inggeris ketika ini apabila hanya meraih satu mata daripada tujuh perlawanan dan bolos 11 gol dalam dua perlawanan termasuk tewas 2-6 menentang Tottenham Hotspur sebelum ini.
Tielemans mengakui ia adalah tempoh sukar yang dilalui oleh dirinya dan kelab itu, tetapi percaya keputusan yang dibuat untuk terus kekal di Stadium King Power tidak silap biarpun dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab lain.
“Saya gembira untuk mendapatkan ‘angin segar’ bersama skuad Belgium kerana di Leicester kami melalui tempoh yang sukar. Sangat jelas bahawa apa yang berlaku di Leicester ketika ini tidak begitu baik.
“Kekalahan berturut-turut yang dialami oleh pasukan memberi kesan kepada keseluruhan pemain. Kami perlu mengambil kesempatan cuti rehat antarabangsa untuk memulihkan semangat,” katanya.
Arsenal yang kini menguasai takhta liga dikaitkan dengan perpindahan Tielemans pada jendela perpindahan lalu ketika kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini.
Tielemans dijangka akan terus menjadi buruan kelab-kelab gergasi Eropah pada musim sejuk nanti, namun dia mengakui hanya akan meninggalkan Leicester sekiranya tawaran yang diterima bersesuai dan menjamin masa depannya.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai kontrak. Saya kekal di Leicester pada musim panas lalu kerana mahu menantikan tawaran yang sesuai.
“Saya tidak menyesal hanya kerana situasi yang dialami Leicester ketika ini,” jelasnya.
– AGENSI