MANJUNG – “Rutin saya sudah berubah, sebelum ini dia akan bersarapan dan peluk kami suami isteri. Sekarang tiada lagi.”
Itulah luahan Ramli Hasan, 69, bapa kepada Muhammad Hafiz, 31, yang ditemui lemas di bawah kereta Proton Persona di Teluk Senangin pada 16 September lalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dan terperosok di bawah kereta itu selepas cuba menahan kenderaan terbabit daripada menggelongsor masuk ke dalam laut.
Menurut Ramli, anak bongsu daripada lima beradik itu tinggal bersamanya dan sering menghabiskan masa bersama-sama sebelum insiden tersebut.
“Sebelum ini dia yang bekerja berhampiran sini selalu bersarapan bersama-sama dan memeluk saya dan isteri, Aishah Jusoh, 67, sebelum meninggalkan rumah.
“Sekarang, saya menerima ujian berat ini dari Allah. Saya kena cekalkan hati dan tabah dengan ketentuan-Nya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Cerita Ramli, Allahyarham bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan setelah mereka suami isteri selesai menunaikan umrah pada November hadapan.
Bagaimanapun, katanya, dia reda dengan pemergian Muhammad Hafiz serta menzahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian anaknya berjalan lancar dan memohon orang ramai mendoakan Allahyarham.
Terdahulu, dia menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Seri Manjung yang diwakili Pengurusnya, Mohd. Shaperi Md. Salleh bagi menyampaikan mok cek pengurusan jenazah bernilai RM2,000.
Mohd. Shaperi berkata, ibu bapa arwah Muhammad Hafiz turut layak menerima Faedah Pencen Penakat yang dibayar oleh Perkeso secara bulanan sehingga akhir hayat mereka.