KUALA TERENGGANU – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 3 yang mula disalurkan sejak Isnin lalu sedikit sebanyak melegakan penerimanya.
Salah seorang penerima, Tengku Norlaili Tengku Hashim, 47, yang juga seorang ibu tunggal berkata, bantuan itu diberikan kerajaan tepat pada masanya ketika rakyat memerlukan ‘suntikan’ tunai dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu.
Tukang jahit itu berkata, pendapatan bulanan yang tidak menentu memberi kesan kepada perancangan kewangan untuk menanggung dua orang anaknya.
“Bantuan diterima ini sangat melegakan dengan kenaikan harga barang, ia boleh meringankan beban untuk membeli barang keperluan asas.
“Sebelum ini, saya merancang untuk menukar mesin jahit baharu, namun permintaan pelanggan yang tidak menentu memaksa saya menangguhkan hasrat itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, dia bercadang untuk menggunakan sebahagian wang BKM itu untuk membeli barangan kemas sebagai pelaburan jangka panjang memandangkan ekonomi dijangka meleset sehingga tahun depan.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Ahmad Fadzli Hanafiah, 25, berkata, golongan bujang sepertinya boleh melabur wang BKM itu dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Ujarnya, bantuan tunai RM300 yang diterima itu wajar dimanfaatkan orang muda untuk mendepani krisis ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat.
“Jumlahnya mungkin tidak banyak tapi kita boleh persiapkan diri dengan perancangan kewangan teliti sambil berharap BKM dapat diteruskan tahun depan,” katanya.
Di Ipoh, Isa Abdullah, 69, berkata, dia yang menerima wang BKM RM700 akan menggunakannya bagi membeli barangan keperluan hariannya.
“Saya yang merupakan pesara swasta bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 8.7 juta penerima BKM.
“Alhamdulillah, wang ini akan saya gunakan untuk menampung keperluan harian,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Izwan Muhaimin Razali, 34, dia yang baharu berkahwin sangat memerlukan bantuan kewangan dan BKM ternyata membantunya dan isteri.
“Saya baharu bernikah bulan lalu, jadi banyak perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi tujuan tersebut. Memang BKM ini dapat membantu saya menguruskan rumah tangga,” katanya. -KOSMO! ONLINE