JELEBU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan berjaya menyelamatkan seekor beruang matahari di Kampung Petaseh Hilir di sini, 15 September lalu.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya menjalankan operasi menyelamat haiwan tersebut yang memasuki perangkap dipasang mereka.
Menurutnya, beruang matahari itu memasuki perangkap sehari selepas ia dipasang oleh Perhilitan Negeri Sembilan.
“Beruang matahari itu dilaporkan berkeliaran di kawasan kampung oleh orang awam dan berdasarkan aduan yang dibuat, pihak jabatan bertindak memasang perangkap bagi menangkapnya.
“Haiwan jantan dewasa itu mempunyai anggaran berat antara 70 hingga 80 kilogram berusia antara tiga hingga empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Ermi berkata, hasil pemeriksaan oleh doktor veterinar jabatan mendapati beruang matahari tersebut berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan.
Sehubungan itu menurutnya, pihak jabatan bertindak melepaskan semula haiwan itu ke habitat asal. – KOSMO! ONLINE