KOTA TINGGI – Seorang pemuda alami cedera ringan selepas kereta dipandu terjunam ke halaman sebuah rumah peneroka dalam kejadian di Jalan Aman, Felda Lok Heng Selatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui media sosial pada pukul 7.30 petang.
“Siasatan mendapati sebuah kereta Nissan Sentra hilang kawalan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di jalan tersebut lalu terjunam dan menghentam bumbung sebuah rumah sebelum jatuh ke halaman rumah.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan kecil di dahi. Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal keretanya dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanga semasa kemalangan keadaan cuaca cerah manakala lalu lintas pula tidak sibuk.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu hingga menyebabkan kemalangan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya sentiasa peka, berhati-hati dan mematuhi undang-undang serta mengikut peraturan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE