fbpx

Pelanggan mengeluh peniaga culas pamer tanda harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDANGAN lauk pauk yang tidak diletakkan tanda harga di sebuah kedai makan di Kuantan sehingga mengelirukan pengguna.

KUANTAN – Harga berbeza setiap hari dan juadah yang bertukar-tukar antara alasan peniaga kedai makan di negeri ini tidak meletakkan tanda harga pada juadah jualan mereka.

Tinjauan ­Kosmo! di beberapa daerah seperti Kuantan, Temerloh dan Jerantut mendapati, masih terdapat ramai peniaga yang tidak meletakkan tanda harga khususnya bagi hidangan lauk pauk.

Keadaan itu menyebabkan pelanggan berasa bimbang ditipu peniaga tidak bertanggungjawab apabila peniaga secara suka hati meletakkan harga tanpa sebarang panduan.

Seorang pelanggan Siti Hozam Omar, 58, berkata, sebagai pembeli, ketiadaan tanda harga pada makanan yang dijual membuatkan dirinya ragu-ragu untuk membeli makanan berkenaan.

“Kita rasa serba salah hendak ambil. Takut mahal, jadinya kita pilih sahaja juadah yang kita tahu harganya pasti murah.

“Kalau hendak ambil juadah seperti udang, sotong dan lain-lain memang dapat rasakan ia mahal, kecuali kalau peniaga letak tanda harga, bolehlah kita buat kira-kira harga yang perlu dibayar,” katanya.

Luahan sama disuarakan, Izzat Amir, 40, apabila dia terpaksa membayar harga yang tinggi bagi seketul ikan patin tempoyak ketika makan di sebuah kedai berhampiran sebuah hospital di Kuantan baru-baru ini.

Dia yang sering memilih juadah patin tempoyak berkata, harga biasa bagi seketul patin sangkar yang dimasak gulai tempoyak biasanya paling tinggi adalah RM16 tetapi di kedai berkenaan ia meletakkan harga sehingga RM25 seketul.

“Saya ingat paling tinggi pun dalam RM16 tetapi apabila di­tanya pemilik kedai menyatakan RM25 walaupun saiznya agak kecil, memang terkejut juga, mulanya ingat salah kira tetapi itulah harga yang perlu dibayar kata peniaga berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, dia tidak meletakkan tanda harga pada makanan kerana juadah yang dijual bertukar-tukar setiap hari dan harga adalah berbeza berdasarkan harga bahan mentah diperolehi mereka.

“Kadang-kadang bergantung kepada kuantiti makanan yang diambil oleh pelanggan, kalau pelanggan tidak pasti, mereka boleh bertanya kepada kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI