KUALA LUMPUR – Remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya.
Bagaimanapun sebelum prosiding bermula, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan kepada mahkamah, keterangan Bella dalam perbicaraan kes itu akan dijalankan secara tertutup.
Ia kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi pendakwaan kanak-kanak yang mana keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.
Zilfinaz berkata pada prosiding sebelum ini, pihaknya telah memohon supaya seorang perantara dan peneman Bella dilantik mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 untuk berada bersama remaja itu di sebuah bilik lain semasa perbicaraan dijalankan.
“Dua individu ialah pegawai psikologi dari Jabatan Peguam Negara Dr. Nor Jumawaton Shahruddin selaku perantara dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Noor Faiidah Mohamed selaku peneman Bella,” katanya.
Mendengar perkara itu, Hakim Izralizam Sanusi kemudian berkata mahkamah sebelum ini telah membenarkan dua pelantikan individu selain menegaskan Bella adalah saksi kanak-kanak yang kurang upaya.
Justeru mahkmah membenarkan permohonan pendakwaan supaya prosiding itu dijalankan secara tertutup dan mengarahkan orang awam untuk meninggalkan galeri awam sebelum prosiding bermula.
Terdahulu, Bella tiba di mahkamah pukul 9 pagi dengan memakai gaun biru seperti watak Elsa di dalam animasi Frozen dengan diringi petugas JKM dan anggota polis.
Semalam pihak pendakwaan memaklumkan hari ini Bella dan pegawai penyiasat akan memberikan keterangan di mahkamah.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE