fbpx

Liga M perlu prestij, bukan jadi bahan hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FITRIE MUHAMMAD, Wartawan Eksekutif Kosmo!

Pertama sekali, terima kasih dan ucapan tahniah buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke­rana sering mengerah idea untuk meningkatkan mutu serta kualiti Liga Malaysia (Liga M).

Seiring dengan tuntutan bola sepak era moden, Liga M bakal menyaksikan pertambahan perlawanan apabila MFL melakukan keputusan berani dengan memutuskan 18 pasukan bakal bertan­ding bermula musim depan.

Walaupun ia bakal menambahkan kos, secara tersiratnya perubahan ini akan memberi kesan positif kepada kitaran bola sepak negara secara menyeluruh.

Bagaimanapun, persoalan la­ma masih menghantui da­sar penswastaan pasukan ter­utamanya selepas industri ini berterusan dipalit dengan isu lapuk iaitu masalah tunggakan gaji.

Adakah bola sepak negara benar-benar layak untuk diangkat sebagai industri ataupun sekadar sebuah hiburan?

Memang tidak boleh dinafikan, sukan mampu menjadi platform penyatuan atau pun wadah hiburan, tetapi ia harus dilangsungkan selari dengan perubahan semasa iaitu bola sepak sebagai sebuah industri besar.

Bukan menafikan gerak kerja beberapa pasukan yang mula menggerakkan pasukan sebagai entiti bola sepak berasaskan perniagaan, tetapi jika bersandarkan realiti yang sedang diperta­yangkan ketika ini, status hiburan adalah lebih layak.

Bermula dengan gagalnya untuk melakukan tadbir urus dengan sempurna, Liga M tidak ubah seperti pentas Maharaja Lawak, penuh dengan bahan jenaka termasuk berkaitan kualiti pengadil.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa berkata, ketika ini masih terdapat lopong dalam urus tadbir hingga memberikan peluang kepada pertikaian.

Sebelum mahu menyaksikan bola sepak menjadi industri besar, Mohd. Sadek berpendapat, MFL wajar meletakkan satu tanda aras gaji bagi mengelak ada pasukan ‘kerdil’ terperangkap.

“Ketika ini, ia belum mencapai status industri lagi sebab masih ada lopong dalam urus tadbir dan ia pasti akan ada benda yang boleh dipertikaikan. Kita kena akui kelemahan yang ada dan selepas itu ia perlu diperbaiki.

“Peminat sekarang tidak buta dan sedang memerhati, kalau kita tidak jaga liga kita, ia pasti akan dapat perhatian daripada luar. Ketua sesebuah pasukan juga jangan jadi badut.

“Apabila ramai badut dalam pasukan, inilah yang akan jadi. Bola sepak hak masyarakat dan apabila melaksanakan penswastaan, ia perlu dilakukan secara serius,” katanya.

Usah salahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempamerkan pe­nguasaan, tetapi pasukan lain juga harus berlapang minda dan mencari titik perubahan.

Selain JDT yang sudah terbukti dalam urus tadbir berkelas A, Kelantan dan Kuala Lumpur City juga wajar menjadi contoh kepada pasukan lain khususnya menjelang saingan musim depan.

Mohd. Sadek juga bersetuju dengan langkah yang dilakukan Norizam Tukiman bersama The Red Warriors kerana mengikut kemampuan kantung pasukan, manakala KL City pula berpotensi untuk menjadi ‘umpan’ bagi menarik lebih banyak penaja.

“Untuk menjaga manusia, kita kena ada sains kemanusiaan. Lihat Kelantan FC sedang lakukan sekarang, mereka meletakkan tanda aras gaji. Prestasi mungkin tidak begitu cemerlang tetapi soal gaji tidak ada masalah.

“Saya juga harap prestasi yang diraih KL City ketika ini mampu menarik lebih banyak penaja. Dengan keputusan yang mereka ada, mereka sebenarnya ada potensi menarik penaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI