fbpx

Kerajaan tidak sekat rakyat melancong ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah Transformasi Komuniti NCER di Dewan Kolej Height Utara, Jitra. Foto SHAHIR NOORDIN

JITRA – Kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat kehendak rakyat negara ini untuk melancong ke luar negara termasuk Thailand walaupun kecenderungan itu memburukkan nilai ringgit dalam jangka masa panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun, pihaknya berharap kementerian dan agensi berkenaan termasuk penggiat pelancongan di negara ini lebih agresif mempromosikan sektor itu dalam kalangan pelancong domestik mahupun luar negara.

Beliau tidak menafikan ia adalah cabaran besar untuk semua pihak dalam memastikan aliran keluar wang tidak akan menjejaskan ekonomi negara terutama pasca pandemik Covid-19.

“Kita tidak sekat rakyat melancong ke Thailand, namun yang penting kita menggalakkan mereka turut melancong dalam negara. Apa yang penting adalah promosikan tarikan pelancongan dalam negara kita.

“Ini termasuk memberi motivasi kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka dengan lebih agresif. Orang kita suka ke Thailand dan sebagainya, jadi kita kena mempergiatkan promosi.

“Kita nak jika (wang) keluar banyak, yang masuk pun banyak ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Transformasi Komuniti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang berlangsung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan pendapatan dalam sektor pelancongan juga terkesan dengan penyusutan ketara kemasukan pelancong dari luar negara terutama dari China.

“Sebelum Covid-19, kita mencatatkan kemasukan 27 juta pelancong pada 2019, tetapi setakat ini tiga juta yang datang ke Malaysia. Daripada 27 juta ke tiga juta merupakan penurunan yang sangat ketara.

“Keutamaan kita adalah untuk tambah kemasukan pelancong asing untuk seimbangkan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara.

“Jadi oleh kerana pelancong asing ini berkurangan dengan ketara, kita kena kerja keras. Kita juga kehilangan pelancong dari China kerana polisi sifar Covid-19 yang tidak membenarkan rakyatnya melancong ke luar,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kementerian berkaitan lebih agresif mempromosikan barangan tempatan dalam kalangan rakyat negara ini untuk menambah sumber pendapatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI