KUALA PILAH – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini,hari ini atas kesalahan memukul isterinya sehingga patah tulang pinggul dalam kejadian di Tampin, 15 September lalu.
Tertuduh, Mohd. Najib Zainal Abidin, 37, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, pada 15 September kira-kira pukul 10.00 malam Taman Bandar Utama, Tampin, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas isterinya berusia 36 tahun.
Tertuduh menumbuk di perut, di mata kiri, di kepala, dan di tangan beberapa kali dan menendang di perut, di kaki serta memijak di perut dan pinggul beberapa kali sehingga menyebabkan isterinya mengalami kesakitan dan patah tulang pinggulnya.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dihukum dibawah Seksyen 326A Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh boleh sehingga tujuh tahun dan denda.
Bagi Seksyen 326A KK, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Amirul memohon tiada ikat jamin diberikan buat tertuduh dan sekiranya mahkamah memberikan jaminan, wang jaminan harus dalam jumlah yang tinggi serta mengenakan syarat tambahan.
Tertuduh dalam rayuannya memohon untuk diberikan jaminan memandangkan perlu bekerja bagi mencari nafkah buat keluarga dan anak-anak.
Norma kemudiannya membenarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan saksi.
Jika gagal jaminan akan ditarik serta merta dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE