fbpx

Indonesia rujuk WHO sebelum isytihar pandemik Covid-19 tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Indonesia masih melaksanakan PPKM mengikut status Covid-19 di setiap wilayah susulan kes harian masih melepasi 2,000 sehari. - ANTARA

JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia menegaskan sebarang maklumat terkini mengenai situasi Covid-19 di republik itu akan dirujuk daripada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.

Ketua Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam kementerian berkenaan, Siti Nadia Termizi menyatakan perkara tersebut sebagai jawapan kepada tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang mengisytiharkan bahawa pandemik di negara tersebut sudah tamat.

“Kementerian akan menunggu arahan dan saranan daripada WHO apabila ia melibatkan situasi kesihatan antarabangsa.

“Pemerintah terutamanya Presiden Joko Widodo (Jokowi) tidak mahu membuat sebarang keputusan dalam keadaan terburu-buru,” tegas Siti Nadia.

Tambah Siti Nadia, meskipun kes Covid-19 di republik itu sudah semakin terkawal namun potensi untuk ia kembali melonjak masih tinggi.

Pemerintah juga bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan Perintah Pengawalan Kegiatan Masyarakat (PPKM) yang diselaraskan dengan keadaan Covid-19 setiap wilayah.

“PPKM masih diteruskan kerana kes Covid-19 keseluruhan masih melebihi 2,000 dan sasaran vaksinasi terutama dos penggalak masih tidak mencapai matlamat.

“Dasar pandemik WHO adalah isu yang perlu dipersetujui oleh negara global. Justeru, kita akan melihat perkembangan dasar negara lain sebagai penanda aras Indonesia dari masa ke masa,” kata Siti Nadia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI