fbpx

Empat kedai makan kotor di Kuala Krai diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa JKNK memasang notis penutupan sebuah kedai makan yang tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan semasa Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 09/2022 di Kuala Krai semalam. FOTO IHSAN JKNK

KUALA KRAI – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan empat buah kedai makan di sini ditutup selama 14 hari bermula semalam selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua premis tersebut didapati tidak menepati kriteria semasa pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 09/2022 yang dikendalikan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan JKNK semalam.

Menurutnya, sebanyak 64 premis makanan di sekitar Bandar Kuala Krai, kawasan peranginan Dabong, Jelawang, Kampung Laloh dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang telah diperiksa dalam operasi itu.

“Sebanyak empat premis diarahkan tutup maksimum selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

“Selain itu, sebanyak 72 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaini, antara kesalahan yang tertinggi dicatatkan dalam operasi itu adalah mengikut Peraturan 32(1)(b) iaitu kegagalan pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap semasa mengendali makanan dengan sebanyak 57 notis kompaun telah dikeluarkan.

Katanya, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Pengusaha kedai makan dinasihatkan agar mematuhi segala aspek berkaitan kebersihan agar dapat menjamin keselamatan makanan.

“JKNK juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai dinasihatkan memilih premis makanan yang bersih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI