KLANG – Perjalanan dua pekerja swasta menuju ke tempat kerja bertukar tragedi apabila maut digilis sebuah lori di Kilometer 3.4 Lebuhraya Selat Klang Utara menghala ke Bandar Sultan Suleiman di sini, malam tadi.
Kemalangan pukul 9 malam itu mengakibatkan lelaki berusia 41 dan 18 tahun yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa baru selesai urusan di luar dan menuju ke sebuah syarikat swasta di Bandar Sultan Suleiman.
Kata beliau, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai mengubah haluan memasuki laluan lori dipandu lelaki berusia 27 tahun.
“Lori itu bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.
“Kedua-dua mangsa dipercayai digilis dan masing-masing ditemui di tayar hadapan dan belakang lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Vijaya Rao, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.13 malam.
“Pemeriksaan mendapati salah seorang mangsa tersepit di bawah lori dan kita berjaya mengeluarkannya.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE