PETALING JAYA – Perjalanan dua beranak dari Larkin ke Taman Suria, Johor Bahru hanya dengan berjalan kaki demi meraih ihsan rakannya telah menyentuh hati ramai.
Kisah mereka dikongsikan pemilik akaun TikTok, Mama Hedys menerusi beberapa rakaman video yang kini menjadi tular dengn lebih 850,000 tontonan dalam tempoh empat hari.
Menurut pemilik akaun, perjalanan seorang bapa dengan anak perempuannya itu bertujuan untuk meminjam wang daripada seorang rakan di Taman Suria bagi membayar bil elektrik dan air yang sudah tertunggak.
Katanya lagi, dia terjumpa dua beranak berkenaan yang sedang duduk berehat di tepi jalan dalam keadaan keletihan.
“Mereka dari Larkin ke Taman Suria, tunggu nak jumpa dengan kawan untuk pinjam duit buat bayar bil api dan air rumah,” katanya.
Lebih menyentuh hati, ketika pada awalnya Mama Hedys terjumpa mereka, kanak-kanak perempuan tersebut dilihat sedang tidur di belakang bapanya itu disebabkan penat berjalan lebih sejam.
Menjengah ke ruangn komen, ramai yang menitipkan doa agar segala urusan dua beranak tersebut dipermudahkan.
“Ya Allah, moga urusan pak cik ini dan anaknya dipermudahkan, kalau ada nombor akaun bank boleh sama-sama kita bantu,” kata Maisarah.
“Teringat arwah bapa, sebab dulu dia juga kerja keras untuk besarkan kami lima beradik, sanggup tebalkan muka pinjam duit pada kawan, saudara untuk pastikan kami cukup makan. Alhamdulillah, sekarang kami adik beradik dah berjaya, cuma tak sempat nak berbakti pada arwah bapa,” luah seorang pengguna.
Sementara itu, seorang pengguna, Kukuciwi memaklumkan bahawa pak cik tersebut sering lihat berjalan bersama anak perempuannya sekitar Larkin.
“Pak cik dan anak ini memang sentiasa ada di kawasan Larkin. Ayah dia memang rajin kendong anak dia dekat belakang. Terbaik kepada anda sekeluarga kerana tolong mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE