fbpx

Bunga disayangi ramai, Elisya boleh ‘tinggalkan’ demi kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elisya bersyukur kerana ramai menyayangi anaknya, Bunga sekali gus tidak merasa ralat untuk meninggalkan demi kerjaya lakonan.

PETALING JAYA – Mengambil pendekatan berbeza daripada ibu lain, pelakon Elisya Sandha sanggup meninggalkan bayi sulungnya yang baru berusia tiga bulan demi kerjaya lakonan.

Kata Elisya, dia tidak perlu menunggu lama untuk kembali berlakon memandangkan ramai ahli keluarga sedia membantu menjaga anaknya.

“Selepas tiga bulan melahirkan anak dan melalui proses berpantang saya sudah kembali bekerja.

“Saya bersyukur ada keluarga yang sangat menyokong, terutama ibu mentua yang sanggup menjaga Bunga.

“Dalam waktu sama, saya juga ada pembantu yang menolong mama (ibu mentua) di rumah. Setakat ini, saya tiada masalah untuk kembali bekerja sebab saya memang tak suka duduk diam di rumah, saya lebih suka bekerja.

“Cuma kalau ada tawaran kerja di luar kawasan saya terpaksa tolak sebab Bunga masih menyusu badan dan masih belum tiba masanya untuk berpisah jauh,” katanya yang kini sudah pun memasuki set penggambaran bagi sebuah drama bersama kakaknya, Fasha Sandha.

Pada masa sama, pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe itu bersyukur apabila puteri tercintanya itu disayangi seluruh ahli keluarga, terutama ibu mentuanya yang juga pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly.

Bunga yang kini berusia tiga bulan dijaga dengan sepenuh kasih sayang pasangan ibu dan bapa mentuanya semasa dia keluar bekerja.

“Bunga dan mama (Sheila) sangat rapat sampaikan mama tak nak pergi set penggambaran sebab nak jaga Bunga di rumah.

“Bunga pun tak banyak meragam atau menangis apabila saya keluar bekerja. Bunga pun kenal ibunya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Rasuk arahan pengarah popular, James Lee kelmarin.

Terdahulu, Elisya, 23, berkahwin dengan anak sulung Sheila iaitu Uzair Haqimy Azman pada 21 Ogos tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Bunga Elhaq pada 18 Jun lalu.

Rasuk yang diterbitkan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan SixFun Media turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Aliff Satar, Alicia Amin, Ayie Floor88, Atiq Azman, Abbas Mahmood dan Syazwan Razak.

Rasuk bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 29 September ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI