PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Istana Brunei, London, United Kingdom semalam.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan hubungan dua hala istimewa yang erat terjalin sekian lama serta usaha pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Brunei.
Pada masa sama katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan dua hala yang lebih mendalam dalam bidang ekonomi, dagangan, pendidikan, pertahanan serta kerjasama ekonomi di Sabah dan Sarawak.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia Brunei boleh diperkukuhkan serta banyak lagi kerjasama ekonomi dapat diterokai demi kepentingan bersama.
“Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa program Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei merupakan landasan penting bagi menjayakan usaha-usaha pengukuhan hubungan dua hala,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Brunei berkenaan pembukaan sepenuhnya sempadan bermula pada 1 Ogos lalu.
Jelasnya, ia memanfaatkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, khususnya di Sarawak dan Sabah serta aktiviti ekonomi di sempadan negara.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin melakukan pertemuan empat mata ialah semasa Lawatan Negara Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong ke Brunei pada bulan Ogos 2019. – KOSMO! ONLINE