PETALING JAYA – Desas-desus berhubung usaha untuk menghalang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding Parlimen kini tular di media sosial.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Penerangan Pemuda Rembau, usaha yang dilakukan oleh ‘tangan ghaib’ itu akan merugikan parti itu sendiri pada masa akan datang.
Menurut penulis yang hanya dikenali sebagai Ustaz itu berkata, UMNO tidak boleh mensia-siakan tokoh politik seperti Tok Mat Hasan kerana kebolehan dan ketokohannya telah terserlah sehingga ke arena antarabangsa.
“UMNO perlu bangkit dan sifat-sifat buruk yang menjadi budaya sekian lama perlu dihapuskan serta-merta. Apa salahnya Tok Mat Hasan diangkat ke Dewan Rakyat?
“Kalau orang melihat KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) sebagai Ahli Parlimen yang berani, percayalah bahawa Tok Mat Hasan berkali lagi lebih lantang dan berani dari itu,” ujar penulis.
Ustaz menambah, Tok Mat Hasan juga terserlah jati dirinya sebagai Melayu dan pemikirannya serta agendanya untuk mengangkat martabat Melayu jelas semasa beliau menjadi Menteri Besar.
Katanya, kesungguhan Tok Mat Hasan untuk memartabatkan Islam di Negeri Sembilan juga tidak kurang hebatnya sehinggakan bangunan tertinggi di Seremban iaitu bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ada kalimah Allah di puncaknya.
“Kaum-kaum lain juga tidak diabaikan, Tok Mat Hasan adalah Adun Rantau yang mempunyai pengundi India dan Cina yang agak besar. Kebajikan mereka setiap masa dijaga meskipun undi mereka belum pasti diperolehi,” ujarnya.
Justeru Ustaz berkata, Tok Mat Hasan perlu dicalonkan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau kini ialah Timbalan Presiden UMNO dan sememangnya layak bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen. – KOSMO! ONLINE