KLANG – Seorang lelaki terselamat selepas sempat melompat dari lori dipandunya yang terbabas melanggar konkrit di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Sultan Hishamudin di sini, semalam.
Kejadian tular kira-kira pukul 2.30 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 35 tahun cedera ringan di kaki belakang badan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ketika kejadian lelaki yang memandu bersendirian itu datang dari arah Tanjung Harapan menuju ke Pelabuhan Klang.
Kata beliau, lori itu kemudian dipercayai hilang kawalan akibat mengalami masalah brek.
“Mangsa cuba mengawal dengan meluruskan stereng ke arah tembok konkrit untuk memberhentikan lori tersebut.
“Dia kemudian segera melompat keluar bagi menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbabas di persimpangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya Rao menambah, hasil ujian air kencing ke atas pemandu itu didapati negatif.
“Lori itu akan di hantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fadli Ismail di talian 017-2141318 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Vijaya Rao turut menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan memerika kenderaan bagi memastikan ia dalam keadaan baik sekali gus mematuhi peraturan ditetapkan.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 20 saat memaparkan tindakan seorang lelaki melompat dari lori dipandunya dan tidak melibatkan kemalangan dengan kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE