fbpx

121 iklan minyak masak dalam talian diturunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tiga tindakan ke atas pihak yang menjual minyak masak secara dalam talian bermula awal tahun hingga 19 September lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90.

Katanya, KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti penjualan minyak masak dalam talian melalui kerjasama penyedia tapak pasar secara dalam talian seperti Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.

Hasil kerjasama tersebut, sebanyak 121 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian dinyahturun pada tahun ini hingga 19 September lalu.

“Dalam tempoh yang sama, KPDNHEP menjalankan 55 pemeriksaan di seluruh negara dan menerima sembilan aduan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah berurusniaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual itu tanpa lesen yang sah, selain menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

“KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta boleh dikenakan terhadap orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, syarikat yang melakukan kesalahan juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Jelas Azman, sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

“Orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama jika mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan minyak masak,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI