JOHOR memperbaharui rekod kebangsaan menerusi sukan menembak pada Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 10 meter (m) pistol berpasukan wanita di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang, semalam.
Pada saingan semalam, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin, Nurul Heryani Arfida Mohd. Arifin dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri merekodkan 1,699 mata, memperbaharui catatan lama 1692 mata yang dilakukan pada Februari 2020.
Nurul Syasya yang juga penembak kebangsaan muncul peserta paling cemerlang selepas turut mendominasi acara individu dan pencapaian tersebut begitu bermakna apabila dia bakal menaiki podium bersama Nurul Heryani Arfida yang juga kakaknya.
“Ini adalah Sukma pertama dan terakhir saya. Sudah pasti banyak cabaran saya lalui sebelum ke pertandingan sebenar tetapi paling penting adalah yakin pada diri sendiri. Adik boleh, kakak pun pasti boleh,” kata Nurul Heryani.
Dalam acara individu, Nurul Syasya menamatkan saingan dengan catatan 235.1000 mata, mengatasi penembak Selangor, Dina Batrisyia Adi Azhar (232.000 mata) dan Mumtazah Syahiidah (209.500 mata)