PETALING JAYA – Pelakon dan model Alicia Amin lega apabila usahanya membantu rakan sejawat dalam bidang peragaan berkenaan isu bayaran tertangguh akhirnya selesai.
Alicia berkata, seramai lapan individu yang tampil bertemu dengannya memaklumkan sudah menerima bayaran penuh selain ada yang sedang menantikan bayaran pada hujung bulan ini.
“Saya rasa lega apabila perjuangan kecil terhadap model-model dalam industri fesyen akhirnya membuahkan hasil.
“Lapan individu yang datang bertemu saya sebelum ini memberitahu mereka sudah menerima bayaran penuh wang hasil titik peluh kerja mereka sebelum ini,” katanya.
Tambah Alicia, dia juga berterima kasih dengan syarikat guaman yang menawarkan khidmat mereka untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah, namun ditolak secara baik.
“Walaupun ada syarikat guaman yang menawarkan kepada saya untuk membawa isu ini di mahkamah, tetapi saya tolak dahulu kerana sudah berbincang secara baik dengan penganjur,” katanya.
Menurut Alicia, sejak insiden tersebut, dia dihujani ucapan terima kasih daripada model yang menjadi mangsa kerana menyuarakan masalah yang berlaku selain tidak berdepan isu bayaran tertangguh pada edisi Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 kali ini.
“Ketika saya terbabit dalam KLFW 2022, ramai model datang berjumpa dan berterima kasih kerana mereka sudah menerima bayaran pada penganjuran tahun ini.
“Walaupun saya rasa serba salah kerana pernah bekerja dengan penganjur itu, tapi saya pernah ajak mereka berbincang sebelum ini, namun tiada tindakan dibuat. Disebabkan itu, saya nekad membuat protes pada acara tersebut.
“Saya paling gembira apabila ada model dapat menggunakan duit yang dituntut dan ditunggu-tunggu selama ini untuk urusan perkahwinan mereka,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Rasuk petang semalam.
Terdahulu, demi menuntut hak rakan dunia peragaan, Alicia atau nama sebernarnya Raja Alicia Raja Amin, 27, tampil sendirian membawa sepanduk di KLFW 2022 pada 18 Ogos lalu.
Dalam kemunculan di pusat beli belah di Bukit Bintang tempat lokasi acara berlangsung, Alicia menyuarakan desakan supaya jangan menindas peragawati dan peragawan yang sudah menyelesaikan tugas mereka.
Sekadar info, filem Rasuk turut dibintangi Ikmal Amry, Elisya Sandha, Taufiq Hanafi, Atiq Azman, Ayie Floor88, Abbas Mahmood dan ramai lagi.
Filem terbitan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Sixfun Media itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 September nanti. – KOSMO! ONLINE