SELEPAS kecoh tentang dakwaan skandal dengan seorang pempengaruh media sosial, Sumner Stroh, vokalis kumpulan Maroon 5, Adam Levine tampil menafikan perkara tersebut.
Levine, 43, yang menerima kecaman hebat dari peminat seluruh dunia bagaimanapun mengakui telah melakukan sesuatu melampaui batas iaitu berbual secara menggoda bersama wanita lain.
“Banyak perkara negatif diperkatakan ketika ini dan di sini saya ingin jernihkan semula keadaan.
“Saya telah melalui pertimbangan terendah apabila berbicara dengan tingkah laku kurang elok bersama individu lain, selain isteri sendiri.
“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai sebarangan hubungan sulit tetapi mengakui sudah melakukan sesuatu yang melampaui batas,” katanya dalam satu hantaran InstaStory.
Pelantun lagu Animals itu turut menyesali perbuatannya dan berjanji untuk membetulkan semula keadaan.
“Saya amat menyesali perkara tersebut.
“Untuk situasi tertentu, semua yang terjadi adalah tidak baik namun saya telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk memulihkan keadaan ini bersama keluarga,” jelasnya.
Meskipun tidak terjebak dalam skandal, dia tetap berasa bersalah atas perbuatannya.
“Isteri dan keluarga merupakan individu yang sangat sayangi serta akan diberikan perhatian.
“Saya sangat bodoh dan naif kerana mempertaruhkan satu-satunya perkara yang sangat penting dan itu adalah kesilapan terbesar yang pernah dilakukan.
“Kesilapan ini tidak akan saya ulangi lagi dan bertanggungjawab sepenuhnya. Kami akan melaluinya bersama-sama,” ujarnya.
Semalam, nama Levine menjadi bahan bualan ramai selepas Stroh memuat naik tangkap layar perbualan mereka dalam TikTok.
Stroh mendakwa mempunyai hubungan sulit selama setahun dengan suami model Victoria Secret itu.
Lebih memanaskan situasi, Levine dilihat mahu menggunakan nama Stroh untuk anaknya yang bakal dilahirkan kelak.
Untuk rekod, bekas juri The Voice itu telah mendirikan rumah tangga dengan model terkenal, Behati Prinslooo, 34, yang kini hamil anak ketiga mereka. – KOSMO! ONLINE