fbpx

Pulau Pinang ke final Sukma 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULAU Pinang melangkah ke pentas final selepas menewaskan Wipers 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium UiTM Shah Alam sebentar tadi. - PENANG FOOTBALL CLUB

SHAH ALAM – Pulau Pinang kini sebelah kaki sahaja lagi untuk merangkul ‘ibu pingat emas’ apabila melangkah ke final bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Kejayaan skuad Harimau Kumbang yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu hadir menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan (Wipers) pada aksi separuh akhir di Stadium UiTM Shah Alam sebentar tadi.

Bagaimanpun, kemenangan itu dicemari dengan beberapa insiden panas di tengah padang membabitkan pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan terutama di hujung perlawanan.

Lebih malang, seorang individu dipercayai daripada barisan kejurulatihan Wipers dilayangkan kad merah kerana mengejar pengadil perlawanan, Muhamad Shamil Mohd. Jaafar dalam insiden panas tersebut pada minit ke-88.

Dalam aksi itu, Pulau Pinang yang lebih banyak beraksi secara bertahan, meraih gol tunggal menerusi sepakan penalti Mohd. Danial Irfan Mohd. Nadzri pada minit ke-40.

Kapten Pulau Pinang itu memanfaatkan kesempatan itu menewaskan penjaga gol Wipers, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin selepas pengadil mendakwa bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Wipers.

Bersambung babak kedua, gawang Pulau Pinang masih bertahan sekalipun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Wipers dalam misi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, hasrat skuad bimbingan Zolkipli Samion itu tampak sukar selepas Muhammad Iman Fakhrullah Zamri diarahkan keluar padang kerana mengasari pemain Pulau Pinang pada minit ke-88.

Insiden itu mencetuskan kekecohan di tepi padang sehingga memaksa perlawanan terhenti kira-kira lima minit sebelum ia disambung semula sebelum aksi tamat dengan kemenangan 1-0 buat Pulau Pinang.

Pulau Pinang akan berdepan Terengganu untuk aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat ini.

Terengganu mara ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor hasil jaringan daripada Muhammad Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid dan Muhammad Zahin Raimi Zamani hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI