fbpx

PPUSMB tingkat perkhidmatan untuk masyarakat setempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal Rafiq (tengah) menandatangani plak perasmian PPUSMB di Kepala Batas di sini, hari ini.

SEBERANG PERAI – Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam (PPUSMB) bakal dimajukan sebagai sebuah hospital yang memiliki pelbagai kepakaran dan kemudahan merangkumi fasiliti perubatan dan pergigian khusus buat masyarakat setempat menjelang tahun 2027.

PPUSMB yang dijenamakan semula daripada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) menawarkan perubatan dalaman, rawatan kanak-kanak, pembedahan am dan payudara, perawatan kanser dan kepakaran pergigian seperti ortodontik dan prostodontik.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, penambahbaikan PPUSMB akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi.

“Secara umumnya, kos sebanyak RM40 juta diperlukan bagi memastikan kita dapat menyediakan kelengkapan berteknologi tinggi selain meningkatkan kapasiti serta tenaga pakar yang berkhidmat di sini.

“Bagi menampung kos operasi PPUSMB, kita memberi tumpuan kepada pesakit berbayar melalui insurans, pesara kerajaan dan pihak-pihak yang mempunyai perjanjian dengan USM seperti PERKESO.

“Walau bagaimanapun, usaha mengumpul dana melalui tabung amanah dan sumber dalaman USM, wakaf atau sumbangan syarikat korporat, agensi kerajaan dan NGO turut dijalankan bagi membiayai sebahagian kos rawatan pesakit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain PPUSMB, beliau turut merasmikan Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKDRC), Program Clinical Fellowship PPUSMB-IPPT dan Program ‘Outreach’ kerjasama antara USM dan Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS).

Mengulas lanjut, beliau berkata CKDRC Bertam adalah yang kedua ditubuhkan di USM selepas Hospital USM Kubang Kerian yang beroperasi sejak 2011.

“Penghidap penyakit ini diakui meningkat namun tenaga pakar semakin bertambah dan teknik perubatan juga semakin canggih.

“Universiti adalah tempat terhasilnya inovasi dan penubuhan pusat sumber ini menjadi salah satu pusat pendidikan yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang kronik secara bersepadu dan sistematik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI