Anggap Liga Fantasi Kosmo! sebagai positif
“Alhamdulillah saya tidak sangka dapat bergelar juara Top 5 Liga Fantasi Kosmo! minggu kali ini,” kata pengurus Paduka Kinta FC, Mohamad Syukri Othman.
Syukri yang berasal dari Saujana KLIA, Sepang memberitahu, dia teruja dapat meraih mata tertinggi kali ini dengan percaturan meletakkan Son Heung-min dalam pasukan ketika ramai pengurus tidak mempercayai sentuhannya musim ini.
Menurutnya, kejayaan itu menaikkan semangatnya selepas kecewa kerana tidak menyertai Liga Fantasi Kosmo! musim lepas.
“Secara peribadi, saya anggap peraduan liga fantasi anjuran Kosmo! sangat positif kerana membolehkan kita bersaing sengit dengan pengurus lain.
“Ia juga topik kita bersembang dengan rakan sekerja kerana Liga Perdana Inggeris memang diminati semua orang,” katanya yang meraih 90 mata minggu ini.
Pening kepala buat percaturan terbaik
PENGURUS pasukan Score Pkai Tangan FC, Khairul Anwar Khairul Anwar Bin Bapujee mendedahkan dia agak pening kepala untuk membuat percaturan strategi selepas aksi minggu 7 (GW7) dibatalkan ekoran kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Situasi bertambah sukar apabila aksi GW8 pula menyaksikan ada beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan sedangkan pasukan saya banyak diwakili daripada kelab seperti Liverpool dan Chelsea.
Justeru, Khairul yang berasal Taman Subang Ma, Shah Alam memberitahu, dia terpaksa melakukan perubahan taktikal dan menggunakan chip free hit selepas menjangkakan kemenangan besar Tottenham Hotspur.
Malah, saya juga bernasib baik apabila Heung-min yang diletakkan dalam bangku simpanan dimasukkan secara automatik selepas ada pemain yang tidak beraksi.
“Sebab itu saya dapat meraih mata tertinggi pada minggu kali ini. Terima kasih Kosmo!” katanya yang meraih 88 mata.
Hampir hilang ‘mood’ untuk main fantasi
HATRIK yang dilakukan Son Heung-min nyata melonjakkan pasukan Amani fc2 yang dikendalikan Mohd. Adnan untuk muncul sebagai lima pasukan terbaik minggu kelapan Liga Fantasi Kosmo! dengan mengumpul 87 mata.
Mohd. Adnan yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang memberitahu, walaupun ramai tidak menyenaraikan Heung-min kerana penurunan prestasi sejak beberapa aksi lepas, namun dirinya nekad dan akhirnya membuahkan hasil.
“Kalau ikutkan, memang agak pening untuk memilih pemain, malah satu ketika hilang ‘mood’ mahu bermain fantasi. Cumanya kali ini saya ada Heung-min yang dijadikan sebagai kapten.
“Saya pernah pilih Heung-min sebagai kapten tetapi dia gagal beraksi baik, saya tukar, namun kali ini saya ikut kata hati untuk kembali menyenaraikannya. Dia juga menjadi penyumbang mata terbanyak bagi pasukan saya.
“Walaupun cuba mengejar hadiah keseluruhan, saya juga turut mengintai peluang untuk menang mingguan dan pilihan saya lakukan kali ini membuahkan hasil,” kata Mohd. Adnan.
Rombak seluruh pasukan buah hasil berbaloi
Keputusan merombak keseluruhan pasukan nyata menjadi tindakan paling berbaloi pengurus, Jamal Nasser apabila pasukannya, SHOHOKU muncul antara lima pasukan terbaik Liga Fantasi Kosmo! minggu ini.
Bagaimanapun, Jamal tetap mempunyai ‘senjata’ tersendiri apabila menggunakan pilihan freehit dan meletakkan Erling Haaland sebagai kapten.
“Musim lepas saya sertai Liga Fantasi Kosmo! dan apabila berbayar, pada awalnya saya agak berkira-kira untuk turut serta, tetapi apabila muncul pemenang mingguan, ia menjadi keputusan tepat untuk disertai.
“Sebelum perlawanan, saya lihat jadual dan guna freehit untuk korbankan pasukan apabila melakukan rombakan terhadap keseluruhan pasukan.
“Kalau ikutkan saya kejar hadiah keseluruhan tetapi mungkin ini rezeki saya. Alhamdulillah perancangan saya membuahkan hasil,” jelas Jamal dari Bandar Saujana Putra Jenjarom.
Mohd. Fitri guna empat hari susun strategi
EMPAT hari mengatur perancangan telah membawa tuah buat pengurus, Mohd. Fitri Azman apabila menjadi salah seorang pemenang saingan minggu Fantasy Premier League (FPL).
Pengurus pasukan Naya Pak Karim FC itu nyata sangat gembira dan tidak menyangka memperoleh 88 mata, sekali gus menjadi salah seorang daripada lima pemenang minggu ini.
Mohd. Fitri yang berasal dari Kota Tinggi, Johor memberitahu, dia meletakkan harapan kepada penyerang Spurs, Harry Kane sebagai kapten dan nyata menjadi selepas pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol.
“Saya baru sertai Liga Fantasi Kosmo! musim ini dan tidak sangka bertuah apabila menjadi salah seorang pemenang mingguan. Agak terkejut dan gembira dengan keputusan ini.
“Terima kasih kepada Kosmo! kerana berikan peluang kepada saya bersaing,” katanya.