LONDON – Pemandu Rusia, Nikita Mazepin menegaskan bahawa dia tidak akan menggunakan bendera berbeza meskipun mempunyai peluang untuk kembali semula ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan.
Mazepin digugurkan oleh Haas selepas sembilan hari pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan tempat tersebut kemudiannya digantikan oleh Kevin Magnussen.
Selain itu, Haas juga mengambil tindakan berani apabila menggugurkan penaja utama mereka Uralkali, yang dimiliki oleh bapa Mazepin.
Ketika ini, terdapat beberapa atlet Rusia dikatakan membuat keputusan beraksi dengan bendera berkecuali dan turut menukar kerakyatan bagi meneruskan karier mereka dalam sukan.
Pemandu rali Rusia, Konstantin Zhiltsov menerima kecaman apabila bertindak menukar kerakyatan kepada Israel agar dapat bersaing dalam saingan Rali Dakar.
“Bagi saya orang di luar sana tidak boleh mengkritik setiap keputusan yang dibuat oleh atlet Rusia. Kami adalah atlet dan setiap orang ada pilihan dan keputusan tersebut mestilah perlu dihormati.
“Zhiltsov bukan satu-satunya atlet Rusia yang terpaksa menukar kerakyatan. Bagi saya, saya tidak akan melakukannya, tetapi saya menghormati keputusan mereka semua,” kata Mazepin.
Mazepin mengumumkan pada Julai lalu bahawa dia menyaman bekas majikannya Haas atas dakwaan tidak membayar gaji.
Pelumba Rusia itu yang menamatkan saingan di tempat ke-21 pada musim sulungnya, juga menyatakan dia berharap untuk melihat Grand Prix Rusia kembali ke dalam kalender perlumbaan. – AGENSI